#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Wednesday, April 23, 2014

Cuba melangkah ke alam perniagaan

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/04/2014


Perniagaan merupakan salah satu cabang untuk kita mencari rezeki tetapi sebagai seorang yang beragama Islam, banyak perkara yang perlu dipatuhi agar ia diberkati dan jauh daripada penipuan termasuk riba.

Hakikatnya, terdapat ramai dalam kalangan kita "takut" untuk menceburi bidang perniagaan kerana ada risiko yang perlu ditanggung, sedangkan jika dihayati, kesemua pekerjaan yang ada di muka bumi ini mempunyai risiko tersendiri.

Berikutan itu, banyak kelas berkaitan perniagaan diadakan bagi menarik minat masyarakat kita tetapi ada yang mengeluh kelas berkenaan berbayar sekiranya mahu disertai.

Perlu difahami bahawa tiada yang percuma di zaman moden ini. Apa salahnya mengeluarkan sedikit wang untuk membayar yuran pendaftaran demi mempelajari sesuatu yang berharga iaitu ilmu perniagaan. Ia akan menjadi lebih berharga sekiranya kelas berkenaan dikendalikan oleh pakar perniagaan yang sudah terbukti berjaya.

Segalanya berada di depan mata, hanya perlu dilaksanakan dengan betul. Strategi yang mantap juga diperlukan tetapi kita perlu sabar dan teliti mengambil kira pelbagai aspek secara menyeluruh.

Bidang yang luas ini perlu digunakan oleh kita, daripada menjual makanan di pasar malam sehinggalah ke peringkat pembukaan syarikat. Itu semua adalah perniagaan dan usaha bertali arus perlu dilakukan demi merealisasikannya.

Bagi kita yang masih belum berniaga, kita perlu berhati-hati menjadi pelanggan mereka. Kita harus meneliti segalanya dengan betul agar tidak terlibat dengan sebarang kes penipuan.

Penulis tidak berniat untuk memberi pandangan negatif dan menakutkan pembaca, tetapi ia lebih berbentuk nasihat dan amaran agar orang ramai lebih berhati-hati ketika menjadi pelanggan.

Jangan malu untuk bertanya kerana ilmu perniagaan tidak akan berkesan jika kita sendiri tidak mempraktikkannya. Selain itu, jangan takut atau gusar dengan risiko di alam perniagaan kerana risiko berkenaan adalah 'guru' terbaik bagi kita yang baru mahu mencuba.

MOHD. AMER HASSAN Kuantan, Pahang

0Share 6Share

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140419/ke_03/Cuba-melangkah-ke-alam-perniagaan#ixzz2zm6r96Jy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, April 14, 2014

Langsir Tenda Baiduri

Sumber : Utusan Malaysia - 11/4/2014

TIDAK berpengetahuan tinggi dalam sesuatu bidang bukanlah halangan untuk seseorang itu berjaya. Yang penting untuk berjaya, seseorang itu perlu berusaha keras mencapai impian mereka. Begitu juga dengan Rahimah Khadri, 40, yang telah membuktikan kejayaan boleh digapai jika disertai dengan minat dan usaha yang berterusan tanpa mengenal erti jemu.

Rahimah atau lebih mesra dipanggil Emma memulakan kerjanya dengan bekerja sebagai tukang jahit langsir. Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun menjadi tukang jahit dan modal yang mencukupi membuatkan Emma berani memulakan kerja sendiri dengan mengambil upah menjahit langsir dari rumah ke rumah.

Dari situ Emma mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan Tenda Baiduri Collection. Ekoran hasil jahitannya yang bermutu, membolehkan syarikatnya mendapat tender dan kepercayaan syarikat fabrik terbesar di Malaysia untuk menjahit langsir-langsir mereka.

"Mereka percaya dengan kebolehan saya setelah melihat hasil jahitan langsir yang ditampilkan. Kini dari banyak-banyak tukang jahit yang mereka lantik, hanya saya yang berani mengambil tender menjahit langsir plastik bilik air.

Langsir plastik memang sukar dijahit, namun saya mempunyai teknik dan syukurlah Allah memudahkan segala-gala urusan dalam hidup saya."kata Emma.

Selain itu Emma turut menerima tempahan dan mengambil upah menjahit langsir untuk orang perseorangan, sekolah untuk bilik guru, perpustakaan dan lain-lain lagi.

Emma bertuah kerana turut mendapat sokongan suaminya, Waris Wahab, 41, yang tidak jemu-jemu menyokongnya.

Bila ada kelapangan suaminya sering mengikut Emma ke rumah pelanggan untuk membantu mengambil ukuran dan memasang langsir yang telah siap.

Emma, anak kelahiran Sungai Besar, Selangor turut bersyukur kerana sekarang dia sudah ada bengkel jahitan sendiri.

"Walaupun hanya menyewa rumah untuk dijadikan bengkel, namun saya tetap bersyukur kerana sudah mempunyai kedai sendiri.

Kalau ada rezeki memang saya mahu memiliki kedai sendiri, namun tahu sajalah harganya mahal berbanding rumah yang saya sewa sekarang ini untuk dijadikan bengkel jahitan saya," katanya.

Emma yang pernah mendapat latihan dari Institut Latihan Perindustrian di Melaka dalam bidang elektronik tidak pernah menyesal dengan pilihannya bergelar tukang jahit.

Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang jahitan, namun Emma tidak pernah menghampakan permintaan pelanggannya yang inginkan rekaan langsir-langsir terkini.

"Kini ramai yang suka buat langsir yang bersambung-sambung dengan gabungan pelbagai warna. Selain itu French fleat dan scallop juga turut menjadi pilihan suri rumah masa kini.

Bila pelanggan menempah, kami lebih suka ke rumah mereka untuk mengambil ukuran serta mencadangkan kain-kain langsir yang bersesuaian.

Syukurlah sekarang saya banyak terima tempahan daripada mereka yang baru berpindah ke rumah baru. Untuk rumah kecil kami ambil masa dua minggu untuk menyiapkannya dan untuk rumah besar ia ambil masa selama sebulan dan kami juga menyediakan perkhidmatan memasang langsir," kata Emma yang kini beroperasi di bengkelnya di Puncak Alam.

Dalam kesibukannya menerima tempahan langsir Emma juga tidak lekang tangan menerima tempahan tudung terkini daripada pelanggannya.

"Muka saya ni kecil dan susah nak cari tudung yang sesuai. Itu sebabnya saya cuba hasilkan tudung ikut cita rasa saya. Seminggu juga saya ambil masa nak siapkan sehelai tudung. Mana taknya tak ada ilmu mana nak pandai buat tudung. Namun saya cuba dan akhirnya saya berjaya. Bila lihat tudung-tudung yang saya pakai ramai pula kawan-kawan yang menempah.

Kini saya juga ada buka kiosk di Giant Klang Sentral. Tudung yang kami jual semuanya rekaan saya yang mempunyai dua lapisan, tiga lapisan dan lima lapisan. Selain yang saya buat, ada juga tempahan pelanggan dan warnanya mengikut cita rasa mereka pada harga berpatutan," kata Emma anak bongsu daripada enam adik-beradik ini mengenai tudung-tudung dibawah jenamanya sendiri iaitu Arisma.

Mereka yang berminat untuk menempah langsir baru untuk Hari Raya ini bolehlah menghubungi Rahimah di email rahimahkhadri@gmail.com atau hubungi talian 013- 3590328 atau 013-3475301.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140411/ke_06/Langsir-Tenda-Baiduri#ixzz2yutiuAdO
© Utusan Melayu (M) Bhd