#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Wednesday, April 23, 2014

Cuba melangkah ke alam perniagaan

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/04/2014


Perniagaan merupakan salah satu cabang untuk kita mencari rezeki tetapi sebagai seorang yang beragama Islam, banyak perkara yang perlu dipatuhi agar ia diberkati dan jauh daripada penipuan termasuk riba.

Hakikatnya, terdapat ramai dalam kalangan kita "takut" untuk menceburi bidang perniagaan kerana ada risiko yang perlu ditanggung, sedangkan jika dihayati, kesemua pekerjaan yang ada di muka bumi ini mempunyai risiko tersendiri.

Berikutan itu, banyak kelas berkaitan perniagaan diadakan bagi menarik minat masyarakat kita tetapi ada yang mengeluh kelas berkenaan berbayar sekiranya mahu disertai.

Perlu difahami bahawa tiada yang percuma di zaman moden ini. Apa salahnya mengeluarkan sedikit wang untuk membayar yuran pendaftaran demi mempelajari sesuatu yang berharga iaitu ilmu perniagaan. Ia akan menjadi lebih berharga sekiranya kelas berkenaan dikendalikan oleh pakar perniagaan yang sudah terbukti berjaya.

Segalanya berada di depan mata, hanya perlu dilaksanakan dengan betul. Strategi yang mantap juga diperlukan tetapi kita perlu sabar dan teliti mengambil kira pelbagai aspek secara menyeluruh.

Bidang yang luas ini perlu digunakan oleh kita, daripada menjual makanan di pasar malam sehinggalah ke peringkat pembukaan syarikat. Itu semua adalah perniagaan dan usaha bertali arus perlu dilakukan demi merealisasikannya.

Bagi kita yang masih belum berniaga, kita perlu berhati-hati menjadi pelanggan mereka. Kita harus meneliti segalanya dengan betul agar tidak terlibat dengan sebarang kes penipuan.

Penulis tidak berniat untuk memberi pandangan negatif dan menakutkan pembaca, tetapi ia lebih berbentuk nasihat dan amaran agar orang ramai lebih berhati-hati ketika menjadi pelanggan.

Jangan malu untuk bertanya kerana ilmu perniagaan tidak akan berkesan jika kita sendiri tidak mempraktikkannya. Selain itu, jangan takut atau gusar dengan risiko di alam perniagaan kerana risiko berkenaan adalah 'guru' terbaik bagi kita yang baru mahu mencuba.

MOHD. AMER HASSAN Kuantan, Pahang

0Share 6Share

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140419/ke_03/Cuba-melangkah-ke-alam-perniagaan#ixzz2zm6r96Jy
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment