#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Thursday, January 16, 2014

Asparila berani gagal

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


DUNIA perniagaan sememangnya mempunyai daya tarikan yang begitu kuat dalam dirinya. Pernah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan selama 17 tahun, jadi dirinya sudah ‘masak’ selok-belok dunia perniagaan.

Lantas Datin Asparila Yaacob, 50 merealisasikan impiannya sebagai usahawan pula.

Tiap kali dugaan melanda dalam perniagaannya, Pengarah Eksekutif Aspire Paradise Sdn. Bhd. ini harus memikirkan tentang 'anak' yang berada dalam 'tanggungannya'.

Bukan sekadar ahli keluarga, tapi kesemua pekerja yang bernaung di bawah syarikatnya.

ASPARILA bingkas bangun dan mencari penyelesaian agar semua kakitangan tidak merasa tempias apa yang telah beliau lalui.

Oleh sebab keprihatinan dan keutamaan itu, Asparila mendapat jalan keluar kepada setiap masalahnya.

Pada asalnya, Aspire Paradise menjalankan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang konvensional.

"Walaupun syarikat ini baru ditubuhkan pada Oktober 2010, saya dan suami berusaha memajukan syarikat ini supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan syarikat gergasi MLM yang lain," katanya yang ditemui di B-33-1, Jalan Danau Lumayan, Pusat Perniagaan Danau Lumayan, Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.

Pada awalnya perniagaan ini berjalan lancar tetapi pada akhir 2013, Aspire Paradise sedikit goyah kerana perubahan sistem MLM.

Berpegang pada falsafah ‘kejayaan dipermudahkan’, Asparila menyahut cabaran tersebut dan berani gagal tetapi akhirnya dia bangkit semula.

"Kita akur tidak semua perniagaan dapat dijalankan dengan mudah seperti perniagaan yang berteraskan MLM kerana modalnya hanya sedikit tetapi keuntungan lumayan, bergantung kepada usaha usahawan itu sendiri.

"Pada awal tahun ini, kami mengubah sistem MLM yang lebih mudah dan laju. Ini memberi kami keyakinan dan jaringan ahli yang lebih kukuh. Boleh saya katakan tahun ini kami mengalami tsunami kerana perkembangan perniagaan semakin baik," kata ibu kepada lima orang anak itu.

PELBAGAI PERNIAGAAN

ASPIRE Paradise turut mempunyai pelbagai perniagaan termasuk agensi pelancongan, syarikat hiasan dalaman, kawalan keselamatan dan restoran di serata Malaysia membuatkan pasangan suami isteri ini tidak duduk diam. Namun pada masa ini tumpuan diberi terhadap Aspire Paradise memandangkan syarikat lain sudah maju dan hanya perlu dipantau sesekali.

Asparila berkata sebagai wanita, beliau mahu membantu lebih ramai ibu tunggal dan wanita miskin untuk keluar daripada zon keperitan hidup kepada gaya hidup yang lebih selesa bersama Aspire Paradise.

"Di Aspire Paradise, kita mempunyai banyak rangkaian produk kesihatan dan kecantikan yang begitu sinonim dengan wanita antaranya jus gabungan pelbagai herba seperti kacip fatimah, madu, kurma, manjakani dan akar serapat iaitu femi9 jus, kopi untuk kesihatan dan makanan minda," katanya.

KELUARGA

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Asparila tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada Datuk Mohd Azmi Ibrahim.

"Sebagai seorang yang memimpin sebuah syarikat, saya perlu ada di situ. Saya tidak mahu memberi alasan dan memberi laluan kepada orang untuk mempertikaikan kepimpinan seorang wanita . Tapi, pada masa yang sama saya masih seorang isteri dan ibu. Saya ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak.

"Bagi saya, wanita yang berjaya ialah wanita yang mempunyai keluarga dan dapat berkongsi kejayaannya bersama keluarga. Jika tidak boleh berkongsi bersama keluarga, apalah maknanya," luahnya.

Baginya, dia bersyukur kerana suaminya tidak pernah menghalangnya menceburi perniagaan malah setia memberi sokongan.

Ibu lima cahaya mata, Anis Amirah, 27, Anis Afiqah, 25, Mohamad Azfar, 23, Anis Ajirah, 19, dan Anis Athilah, 15, juga sedia maklum semangat jati anak kampung yang tersemat dalam diri suaminya.

Sebab itulah, dia dan suami mahu anak-anaknya tidak lupa diri walaupun hidup dalam kemewahan.

"Alhamdulillah, anak-anak saya semua dah besar dan memahami kesibukan saya. Jika ada kelapangan, saya lebih suka menghabiskan masa bersama mereka seperti bercuti. Lebih bermakna, kami sekeluarga diceriakan dengan kehadiran cucu saya," ujarnya.

0Share 5Share 0Share 0Share 0Share 0Share 0Share

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140112/ke_04/Asparila-berani-gagal#ixzz2qYNTvRmn
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment