#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Thursday, January 16, 2014

Mahir menjahit jana wang

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHIDDIEQIIN ZON
Utusan Malaysia - Keluarga


Kurang cemerlang dalam bidang akademik bukan bermakna tidak boleh berjaya dalam hidup. Banyak pekerjaan yang boleh dilakukan untuk memperoleh pendapatan.

Jika tidak berjaya dalam bidang pekerjaan makan gaji, boleh melakukan kerja kemahiran yang diminati dan lebih mudah jika cekap dalam bidang tersebut.

Misalnya jika berminat dalam bidang jahitan, boleh melengkapkan diri dengan mempelajari bidang tersebut. Malah, jika diperhatikan, ramai yang telah berjaya dalam bidang jahitan.

Walaupun tidak pandai langsung menjahit, jika mempunyai minat yang mendalam, boleh mempelajarinya dengan mengikuti kelas menjahit yang diadakan di Pusat Latihan Smart Skill.

Sudah lima tahun beroperasi, kelas menjahit yang dikendalikan di pusat ini mengajar pelajar-pelajarnya mengenai teknik jahitan asas, seterusnya cara menjahit pakaian lelaki, pakaian perempuan, langsir dan sebagainya.

Menurut Pengurus Pusat Latihan Smart Skill yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wan Norhayati Wan Ali, pusat itu turut mengajar kemahiran lain seperti jahitan manik, sulaman, membuat tudung, telekung, baju kanak-kanak dan banyak lagi.

Dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, kata Wan Norhayati, para pelajar terdiri daripada mereka yang berbeza latar belakang.

"Kami tidak mengehadkan umur untuk mereka yang ingin mengikuti kelas menjahit di sini, cuma seeloknya mestilah berumur 10 tahun ke atas.

"Sesiapa sahaja boleh mengikuti kelas di sini asalkan betul-betul berminat. Pihak kami akan melatih para pelajar sehingga mereka boleh menjahit sendiri.

"Setakat ini pelajar saya yang paling muda berumur 10 tahun dan paling tua ada yang berumur hingga 60 tahun. Pada masa ini saya mempunyai empat orang pelajar kanak-kanak yang berumur 12 tahun.

"Terdapat juga cucu dan dan nenek yang sama-sama belajar di sini. Asalnya hanya cucu yang belajar tetapi kemudian neneknya pula yang menyertai," cerita Wan Norhayati yang ditemui di pusat tersebut baru-baru ini.

Tambahnya, apa yang lebih mudah ialah pusat tersebut tidak mengenakan sebarang syarat kemasukan.

Waktu mengikuti kelas pula adalah fleksibel dan para pelajar boleh memilih sendiri masa belajar yang sesuai dengan mereka atau apabila mempunyai masa lapang.

Bagi yang tidak ada bekerja tetap, mereka akan datang pada waktu pagi, tengah hari atau petang. Sementara pelajar yang akan datang selepas waktu pejabat atau malam.

"Pelajar boleh memilih program sesingkat satu bulan atau paling panjang satu tahun.

"Mereka datang daripada pelbagai latar belakang seperti suri rumah, pekerja swasta, kakitangan kerajaan yang akan bersara dan terdapat juga golongan profesional seperti doktor," kata Wan Norhayati.

Selain itu katanya, terdapat juga warga asing seperti dari Nigeria dan Thailand yang mengikuti kelas menjahit dengan syarat mereka mesti mempunyai paspot.

Bukan sahaja wanita, malah terdapat juga pelajar lelaki yang bertugas sebagai anggota keselamatan.

Menurut Wan Norhayati lagi, Pusat Latihan Smart Skill menyediakan lapan pakej dengan bayaran untuk sebulan sebanyak RM300 sehingga paling tinggi sebanyak RM1,700.

"Jika pelajar tidak mahu mengambil pakej, mereka boleh belajar untuk satu bulan dengan bayaran antara RM150 hingga RM400.

"Setiap pelajar akan diberikan peralatan asas seperti gunting, pembaris, penetas, roda surih dan sebagainya cuma pelajar harus membawa kain sendiri. Jika tiada, mereka boleh membeli kain di sini.

"Mereka akan belajar daripada asas seperti mengukur badan, melukis pola, jahit cantum, menyedang baju dan sebagainya. Dalam masa dua bulan mereka sudah pandai menjahit baju dan ada yang sudah berani mengambil tempahan," jelasnya yang mengakui pelajarnya bukan sahaja datang dari sekitar Lembah Klang malah dari seluruh negeri Selangor.

Katanya lagi, sehingga kini pusat tersebut telah melatih seramai lebih daripada 300 orang pelajar.

Kepada mereka yang berminat untuk mengikuti kelas menjahit di Pusat Latihan Smart Skill boleh datang sendiri ke 34L-1-1, Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju, Seksyen 5 atau layari Facebook, pusatlatihansmartskill.

0Share 0Share 0Share 0Share 0Share 0Share 0Share

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140116/ke_03/Mahir-menjahit-jana-wang#ixzz2qYO746Ao
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment