#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Friday, January 10, 2014

Ilham bunga Pastelicious

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
Utusan Malaysia - Keluarga
09/01/2014


PADA mulanya, Fatma Nursaada Abd Sukor, 28, hanya membuat bunga pegang untuk diri sendiri semasa perkahwinannya pada tahun 2012 kerana mahu menjimatkan bajet.

Selain itu, dia sendiri tidak tahu di mana hendak mendapatkan bunga pegang yang murah tetapi cantik. Kebanyakan bunga pegang dibuat oleh kaum Cina dan cita rasa mereka juga berbeza dengan kehendak pengantin Melayu.

Jadi, Fatma Nursaada atau Shada mencuba membuat sendiri. Bunga pegang yang dibuatnya itu lain daripada yang pernah dilihatnya, iaitu dengan menggunakan manik mutiara.

Setelah siap, ternyata bunga pegang manik mutiara tampak begitu cantik pada matanya juga pada pandangan orang lain.

Gambar bunga pegang itu kemudian dimuat naik di dalam facebooknya dan kawan-kawan yang melihat menunjukkan minat.

Mereka kemudian mula menempah dan sejak itu percubaan membuat bunga pegang menjadi perniagaan pula.

Menurut penolong pengarah di sebuah badan berkanun itu lagi, dia mula membuat bunga pegang secara serius sejak bulan Ogos tahun lalu.

Setakat ini, Shada telah menghasilkan lebih 100 jambangan bunga pegang yang ditempah oleh pelanggan dari seluruh Malaysia yang mengetahui melalui facebooknya.

Kata Shada, antara bunga pegang yang pernah dibuatnya ialah menggunakan manik mutiara, pelbagai jenis kerongsang, bunga reben, butang, bunga mulberry dan sebagainya.

"Kebiasaannya pelanggan sukakan bunga pegang Sakura, manik mutiara bersama bunga mulberry dan manik warna-warna lain mengikut warna baju mereka. Ada juga pelanggan yang sukakan bunga pegang daripada reben yang dibentuk menjadi bunga ros dengan satu atau dua warna.

"Bunga pegang yang saya buat ini adalah hasil ilham saya sendiri namun jika pelanggan mempunyai idea sendiri amat saya alu-alukan.

"Permintaan pelanggan ini pelbagai kerana ada yang sukakan rekaan lama dan terdapat juga yang masih mahukan bunga hidup seperti ros dan sebagainya," kata Shada yang boleh menghasilkan satu jambangan bunga pegang dalam sehari yang dijual pada harga antara RM100 hingga RM200.

Shada yang memiliki Ijazah Seni Reka Grafik dari Universiti Selangor (Unisel) menambah, trend sekarang lebih kepada warna-warna yang lembut seperti merah samar dan pic untuk bunga pegang sementara bunga pegang manik mutiara ada yang berwarna emas, biru muda, putih dan kelabu.

Bunga pegang yang dibuat daripada pelbagai bentuk kerongsang juga tidak kurang menariknya di mana kerongsang-kerongsang tersebut dilekatkan pada sekeliling jambangan dengan diselitkan rantai mutiara.

Bunga pegang ini memang nampak begitu unik, eksklusif dan mampu memikat sesiapa sahaja yang melihat. Ini merupakan salah satu daripada ilham tersendiri Shada yang tidak dibuat oleh orang lain.

Shada yang mendapat sepenuh galakan daripada suaminya, Wan Mohd. Rukhairul Wan Abd Wahab berkata, selain membuat bunga pegang, dia turut membuat bunga pahar, korsaj dan cekak untuk kanak-kanak pengiring pengantin.

Shada turut menganjurkan bengkel membuat bunga pegang dan bengkelnya yang pertama akan diadakan di Singapura pada awal Januari 2014 ini atas pemintaan pelanggannya di negara tersebut.

Malah bunga pegang Shada turut dibeli oleh pelanggan dari Australia dan mereka juga ada meminta dia mengadakan bengkel bunga pegang di sana.

Bagi memperkenalkan bunga pegang Pastelicious ini, dia bercadang untuk membuka kedai sendiri yang menyediakan pelbagai rupa dan bentuk bunga pegang dengan rekaan moden yang menarik serta sebuah pusat latihan di mana dia boleh mengajar lebih ramai orang yang turut berminat membuat bunga pegang.

Koleksi bunga pegang PASTELICIOUS HAND BOUQUET (017-2064100, FB: Pastellicious Hand Bouquet, Instagram pastelicious_handbouquet)





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140109/ke_01/Ilham-bunga-Pastelicious#ixzz2qYOjdEtX
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment